Saturday 22 December 2012

Mencari lelaki ''GENTLEMAN"

 
 
Setiap wanita mengimpikan untuk mendapat seorang lelaki terbaik dalam hidup mereka. Lelaki yang akan mereka curahkan segenap kasih sayang dan rasa cinta hingga ke hujung usia. Lumrahnya wanita memang begitu. Sekali menyintai, cinta mereka tulus dari hati dan akan mereka bawa sampai mati. Bila sekali menyintai, biasanya mereka sukar untuk beralih hati lagi.
Itulah istimewanya hati seorang wanita.
Suatu bonus kepada para wanita adalah apabila mendapat seorang lelaki yang gentleman. Lelaki yang berani, berkeyakinan, karismatik dan berwawasan.
Namun begitu, jangan terlalu ikutkan rasa hati sehingga kita buta dari menilai makna gentleman yang sebenar.

LIDAH DAN HATI
” Betul..dia luah perasaan kat aku. Time tu aku tak tahulah nak cakap camne, memang aku diam je tapi dalam hati hepi giler..”. Si gadis genit bercerita separuh terjerit dengan kawan baiknya. Gembira tak terkira bila dilamar seorang jejaka persis dalam filem-filem barat.
” Yeke? Wah. Gentlemannya mamat tu. Jelesnye aku..” Balas si kawan baik, separuh cemburu.
Nanti dulu. Jangan mudah terpesona dengan lagak ‘gentleman’ seorang jejaka.
Bukan mahu menilai hati, cuma mahu mengingatkan untuk berhati-hati.
Sebenarnya, memanglah tidak mudah untuk seorang lelaki meluahkan perasaan secara terbuka kepada seorang wanita, apatah lagi secara serius mahu menyunting untuk dijadikan isteri. Ia suatu keputusan yang berat dan besar dalam perjalanan hidup.
Hanya lelaki yang benar-benar lelaki akan bertindak sedemikian.
Pun begitu, harus diingat juga bahawa pada sebahagian lelaki, itu bukanlah suatu perkara yang besar dan berat dalam kehidupan mereka.
Bahkan mereka boleh saja mengucapkan kata-kata dan lamaran yang sama kepada dua gadis yang berbeza dalam tempoh satu hari. Pada mereka, itu suatu yang normal dan biasa. Mereka gembira apabila melihat seorang demi seorang anak gadis berjaya ditawan hatinya oleh mereka. Apatah lagi jika anak gadis tersebut begitu teruja dengan keindahan ayat yang disusun oleh mereka.
Lidah mentafsirkan kesucian dan ketulusan hati. Begitu juga, ia mentafsirkan kekotoran dan kebusukan hati.
DARI IMAN ATAU NAFSU
Kata-kata yang sama dan dituturkan dengan laras yang sama, namun datang dari dua sumber yang berbeza.
Satu dari kesedaran IMAN.
Satu lagi dari mainan perasaan dan hambatan hawa nafsu ditambah pujukan Syaitan.
Ini menjadikan anak gadis yang masih mentah dalam ‘dunia lelaki’ berada di ambang bahaya. Bukan sedikit yang rosak dan punah hasil terpedaya dengan mainan kata-kata. Jangan disangka si gadis yang membesar dalam didikan agama, bertuduh labuh sepanjang masa dan cukup jarang bercakap dengan ‘jejaka’ akan terselamat dari mainan kata.
Bahkan biasanya, yang mentah dan bendul itulah yang sering menjadi mangsa.
Keberanian seorang pemuda yang dengan pantas dianggap sebagai ‘gentleman’ dan wira di hati mereka. Cukup mudah untuk memberi piala sebelum acara bermula!
GENTLEMAN ITU ADA TANDANYA
Salah satunya, keberanian mengungkapkan isi hati mereka. Namun tidak cukup dengan itu.
Apa yang berlaku seterusnya adalah petanda sebenar ‘kelelakian’ mereka.
Antara yang kecundang awal adalah yang lantang di depan si dara namun menikus bila disebut nama orang tua mereka. Gemar bercerita tentang mereka berdua namun beralih tajuk dan hambar bila disebut tentang kedua belah keluarga.
Anda sebagai wanita perlu tambahkan ilmu dan berjaga-jaga. Sesetengah lelaki menjadikan sikap ‘gentleman’ itu sebagai ‘tiket’ untuk menawan hati anda sahaja. Baik mereka berlatarbelakangkan pengajian agama ataupun sekular, itu cerita nombor dua. Sejak bila pula Syaitan memilih bidang pengajian untuk dihambat ke jalan celaka?
Jadi sebelum salahkan mereka, ingatkan diri sendiri dahulu. Kalau anda berjaga-jaga, panahan asmara itu tidakkan mudah merobek tembok IMAN yang anda bina.
Sebab itu banyak disarankan, dan saya sendiri menyarankan supaya dahulukan lelaki yang melamar terus kepada ayah dan bonda anda. Itu tanda gentleman yang paling boleh dipercayai.
Seterusnya dia menunjukkan kecenderungan untuk berhubung dengan keluarga anda melebihi keghairahan untuk berhubung dengan anda sendiri. Sifir mudahnya begini, kalau dia berhubung dengan ayah anda, atau abang anda, atau bapa saudara anda, sudah tentu dan sudah pasti tiada unsur-unsur fitnah dan gangguan Syaitan yang boleh merosakkan hatinya. Justeru, lelaki gentleman adalah yang gagah berpencak ( dengan melamar terus kepada ibu bapa ) dan hebat berstrategi ( dengan membina sebanyak mungkin kubu pertahanan dari ditembusi panah Syaitan ).
Sebaliknya lelaki yang gemar berhubung dengan anda dan lebih seronok bercakap tentang hal ehwal anda berdua, soal hati, perasaan dan sebagainya, yakinlah bahawa lelaki itu adalah lelaki yang berpenyakit dalam HATI mereka.
Mungkin dia gentleman di awalnya, namun tidak gentleman di tengahnya apatah lagi hingga ke akhirnya.
Cuba perhatikan. Susah kan mahu mencari lelaki yang benar-benar gentleman?
PEMUDA ITU ADA
Tapi percayalah, mereka itu ada. Jika anda dambakan mereka, mereka juga sedang mendambakan anda. Tetapi bila masa anda dan dia akan bertemu, hanya Allah yang mengetahuinya. Anda cuma ditunjukkan jalan menuju ke arah mereka.
Bagaimana? Wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.
Bukan namanya ‘gentleman’ jika hati anda sedikit demi sedikit ditarah oleh mereka sebelum tiba saat halal untuk anda berdua.
Pemuda yang benar-benar gentleman akan sanggup menahan hati dengan kesabaran yang tinggi, semata-mata mahukan kekasih hati terpelihara dan suci hingga saat halalnya nanti.
Kerana hakikatnya, lelaki yang gentleman melamar anda dari KESEDARAN IMAN dalam diri mereka, bukan hanya hambatan perasaan dan dorongan kehendak dalam diri mereka semata-mata.
Sekian.
 

No comments:

Post a Comment