Monday 3 June 2013

Apabila Hati Berbicara


alt

Bila kita berbicara soal hati, hati itu ada pelbagai rasa yang mana kadang-kala sukar untuk ditafsirkan dan sukar untuk dimengertikan. Manusia selalunya tertipu dengan apa yang ada dalam hati dan perasaan. Perasaan itu kadangkala akan menipu akal dan fikiran. Kadangkala kita merasakan sesuatu yang ada di depan mata kita itu adalah yang terbaik. Dan kita juga sering berprasangka apa yang kita ada itu tidak cukup dan tidak baik. Namun, hanya Allah saja yang lebih mengetahui apa yang terbaik sedangkan kita tidak. Perasaan di hati kita itu juga adakalanya membuat kita kebingungan, kegelisahan, kerisauan, kegusaran dan sebagainya yang membuatkan kita resah dan tidak senang duduk. Sehinggakan kita terduduk menangis memikirkan kegundahan perasaan yang wujud itu.
Hati dan perasaan memang ada dalam setiap diri manusia. Cuma yang membezakan ialah bagaimana kita semua menjaga hati itu supaya ia selari dengan akal dan fikiran kita. Jika terlalu mengikut perasaan dan kata hati, kita juga bisa mati. Akal fikiran dan pertimbangan yang baik sahaja dapat memandu kita kepada satu jalan yang betul. Kadangkala kita semua ini suka berprasangka kepada orang di sekeliling. Orang yang berbuat baik dengan kita, kita akan berprasangka kononnya ada udang di sebalik batu. Ya, prasangka boleh jadi membantu hidup kita dan juga boleh membantutkan hidup kita. Kita sememangnya memerlukan prasangka tapi bukan prasangka  yang membantutkan hidup kita. Tapi, biarlah prasangka yang berpada-pada..Kita cuma perlu berhati-hati dan jangan terlalu mengikut kata hati.
Ada pendapat mengatakan wujudnya hati yang busuk, dan hati yang baik. Bagaimana hati yang busuk itu dan apa pula hati yang baik itu? Bolehkah kita sebagai hamba Allah yang lemah ini membaca apa yang terbuku di dalam hati insan ataupun individu lain? Hebat sangatkah kita meneka? Hebat sangatkah diri kita ini bila kita dengan yakin dan megahnya berkata "Aku tahu niat dia tu memang tak elok...niat dia saje nak tarik perhatian...niat dia itu...niat dia ini......niat dia memang nak mengenakan orang lain...niat dia nak menunjuk-nunjuk..." Padahal diri kita sendiri pun kadang-kadang tidak dapat mengenal pasti niat dalam hati kita.. Mulut bicara lain, tapi di selubuk hati berkata lain. Bagaimana diri kita ini boleh yakin dan sangat pasti dengan niat orang di sekeliling kita? Sedangkan sesungguh-Nya Allah jualah yang lebih mengetahui.

Oleh itu, marilah kita muhasabah diri kita sendiri.Terlalu banyak kekhilafan diri.Saya juga selalu berteka-teka dengan hati, perasaan, akal dan fikiran sendiri.Kadang-kadang kita juga menjadi bingung hanya kerana perasaan sendiri.Kita juga sering berasa tidak pasti dengan diri sendiri.Semuanya kerana diri ini sendiri..

wallaua'lam..:)..

Saturday 1 June 2013

Apa khabar IMAN hari ini

For someone..terima kasih sebab bagi saya tajuk...:)


Tangan kanan itu kembali menyentuh dada. Lama. Mata dipejam kejap. Hati dan akal berbicara menukar tanda. Sepakat berkata bahawa, itu rasanya. Rasa. Ya, rasa itu kembali. Rasa itu datang lagi di sini. Rasa itu melabuhi hati. Rasa itu sepertinya- sakit! Sakit yang sungguh tak terperi.
Sepertinya sudah tidak dapat ditahan lagi. Hati sudah tewas dengan perasaan sendiri. Perlahan air jernih itu membasahi pipi. Juga hati dalam sunyi.
"Allah."
Susah payah dengan sendu mulut mengucapkan. Terketar-ketar bibir mengeluarkan. Semakin laju air jernih itu mengalir membasahkan.
"Allah."
Penuh kesakitan.
"Apa khilafku, Ya Allah. Apa salahku, Ya Allah. Apa yang telah aku lakukan mengundang murka-Mu, Ya Allah."
Tangan tetap pada dada. Degupan itu masih terasa. Degupan itu tiada tandingnya. Degupan itu laju bagai tiada penghalangnya. Degupan itu tidak mahu menurun tahap kelajuannya. Degupan itu seperti berkongsi rasa. Rasa yang menguasai semuanya.
Kenapa rasa itu kembali lagi di sini? Rasa saat si dia pergi, memang tidak dapat ditandingi. Rasa saat si dia seperti tidak mahu kembali, memang tidak dapat mungkin diterangkan untuk yang lain fahami. Rasa saat si dia berjalan meninggalkan hati, sakitnya itu bukan sahaja pada hati malah pada akal yang memerhati.

Perasaan sakit itu dikongsi dengan semua pancaindera dari hati.
"Allahu Rabbi, kemana si dia pergi? Di mana si dia harus ku cari? Di mana si dia dapat ku temui? Apa yang perlu aku lakukan untuk si dia kembali?"
Perlahan-lahan tangan diturunkan. Kaki juga dibetulkan silaan. Sejadah di bawah silaan dibetulkan kedudukan. Tangan kembali mengambil utas tasbih yang ditinggalkan atas Kitab Tuhan. Zikir Fatimah dibacakan dalam sendu tangisan. Berusaha untuk kembali menguatkan hati yang seperti tumbang atas kehilangan.
Si dia. Benar, tinggi nilainya si dia untuk aku. Besar wataknya untuk diriku. Tinggi nilainya padaku. Itulah dia, dia yang aku benar-benar mahu. Si dia yang benar-benar aku rindu.
Kehilangan si dia mula-mula seperti tiada rasa. Rasa biasa. Rasa yang ada di mana-mana. Setelah lama si dia tiada, baru kini aku perasaan perginya. Rasa air mata sudah tidak biasa mengalir takutkan Tuhannya. Rasa semakin banyak dosa yang dibuat walau tahu akibatnya. Rasa seperti sudah jauh jaraknya antara aku dengan Yang Maha Esa.

Sudah pelbagai cara diikhtiarkan. Sudah pelbagai bahan ilmu dibacakan. Sudah didengar alunan ayat-ayat kebesaran. Sampai seperti mana semasa si dia itu tiada, air jernih itu sudah berhenti membasahi mata. Dan kini sehingga air jernih itu kembali membasahi. Si dia tetap juga tidak mahu kembali. Apa khilafku kali ini?
Si dia itu, jika kembali lagi menghuni hati. Pasti aku janji untuk tidak mengabaikannya walau seinci. Pasti aku janji untuk tidak melupakannya walau sehari. Pasti aku janji tidak akan lalai untuk bertanya khabarnya dari hati.
Kini si dia telah selamat kembali.
Bibir kembali mengukir senyuman. Air jernih yang mengalir juga sudah dikeringkan. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan. Tangan kembali letaknya pada hati yang degupnya kembali seperti kebiasaan. Mata diturunkan penglihatan.
Dengan kepayahan bibir berbicara pada si dia yang kini sudah kembali,  "Iman, apa khabar kamu hari ini? Janji ya bahawa kamu tidak akan lari dariku lagi."
Dan ya, si dia itu iman. Iman yang dikurnia Ilahi untuk hati.

Friday 31 May 2013

Saat Pertunanganku


Di saat aku dirisik olehNya
Aku seperti kanak-kanak kecil yang manja
Tidak mengenal apa-apa
Ketika itu aku hanya tahu mengikut kehendakku sendiri
Keputusanku bergantung pada apa yang terbaik dan ku sukai
Pada risikan itu
Sedikit pun tiada ragu bertamu
Setelah beberapa ketika
Aku berada di satu tempat yang indah
Bagiku tempat itu ibarat satu taman syurga
Yang dihiasi dengan kehijauan pokok-pokok muda
Sekelilingnya terbentang sebidang sawah
Di tepinya sebuah tasik tempat ikan bersuka ria
Ooh ! Alangkah indahnya... 
Jauh dari kota
Pada hari itu
Di situlah tempat ku
Bersama janji yang ku ikat padu
Yang mana pada saat itu
Aku bukan lagi seperti dulu
Yang hanya mengikut kehendak hati
Kerna ku tahu syaitan akan mempengaruhi
Bertunjangkan satu kefahaman
Dan berbekalkan keikhlasan
Pada hati ku sebatikan pengharapan
Andai tiada segalanya
Juga sunyi dari kehendakNya
Mungkin aku bukan di sini adanya
Di saat aku melafazkan janji
Manik-manik jernih mengalir di pipi
Terasa debaran menjadi tamu hati
Ku bisikkan pada diri
'insyallah' ini pilihanku, ini taqdirku
Moga inilah yang terbaik buatku
Aku bersyukur kepadaMu Ya Ilahi
Kerna Engkau telah memilih diri
Berada di dalam perjuangan ini
Harapan dan doa menemani tiap denyutan nadi
Moga Allah memelihara dan menjaga hati ini
Agar terus istiqamah dan cekal diri
Dan inilah hari yang sangat bermakna
Setelah aku bertunang dengan sebuah perjuangan!
Moga Allah memakbulkan doa-doa
'Ansorullah' di setiap medan perjuangan
Dan akan termeterailah sebuah perkahwinan
Setekah ku syahid di jalanMu Ya Allah...
Pada saat itu tiba
Yang menjadi suatu tarikh rahsia
Yang hanya Allah Maha Mengetahuinya
Yang penuh debar kan terasa
Yang kan menjadi tanda sejarah
Sebagai pertemuan abadi dengan segala 'Raja'

Semoga sepanjang tempoh pertunanganku ini
MardhotillahNya menemani hari-hari yang bersisa
Dan moga diri tetap istiqamah
Meniti sebuah kehidupan menuju Rabb..

LUAHAN HATIKU.

Puisiku: Terima kasih hati

alt
Dengar ya wahai hati
Aku tahu rasa sakit ini
Sukar untuk diungkap dengan kata-kata
Malah, rasa sakit itu jugak tidak boleh diungkap
Dengan contengan di atas lembaran kertas sahaja
Dan lebih teruk lagi apabila hati itu
Sudah diminta untuk berhenti berfungsi
Parah
Duhai hati yang rawan
Aku tahu apa pun yang cuba ku lakukan
Sekali kata-kata orang terkesan dihati
Kau akan selama-lamanya berbekas
Bukan tidak pernah aku cuba kikis
Tetapi memang itu cara hidupmu
Mudah memaafkan perlakuan orang
Tetapi sukar melupakan.
Dengar ya wahai hati
Aku tahu
Andai saja hati itu boleh di'scan' dengan mata kasar
Kau lah anggota yang sarat dengan duka
Berbanding anggota-anggota yang lain
Penuh dengan torehan, luka dan parut
Namun ku tetap yakin
Engkau terlaku kuat dan tabah..
Wahai hati
Aku bersyukur kerana punya hati sepertimu
Itu kerana kau tidak pernah berhenti berfungsi sekali pun
Kau tetap terus bergerak walau hanya dengan bertatih
Itulah engkau HATI
Setiap kali disakiti, ditikam, dicucuk, disagat, dan disayat
Kau tetap terus berfungi untukku
Hanya untuk aku
Hati...
Bagaimana caranya agar ku bisa merawatmui?
Guna plaster kah?
Guna Gunting kah?
Atau Guna iodine kah?
Jika guna plaster,  luka besar boleh diplasterkah?
Jahit guna benang, takut akan meninggalkan parut
Jika guna iodine, nantinya kuning hati itu
Tidak cantik seperti orang lain yang merah
Alhamdulillah hati...
Allah ajarkan padaku
Agar sentiasa redha selalu
Allah beri perhatian padamu dengan diuji
Wahai hati...
Percayalah, walau dirimu penuh luka
Tapi cukup engkau tidak bersangka-sangka
Pada Tuhan yang menciptakan mu
Juga yang menciptkanku
Sungguh benar hati...
Ujian itu wasilah untuk kita
Agar sentiasa ingat pada yang Esa...
Anas berkata, Rasulullah bersabda:
"Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah."
(Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)

Manisnya Berubah menjadi solehah


Izah mengirai-ngirai rambutnya yang masih basah. Diselak-selak sendiri dengan tangannya yang mulus. Kemudian, dilap kembali dengan tuala pinknya. Membalut, seterusnya menyanggul rambut ikal mayang basah nya itu.
Dia menapak ke sisi katil. Telefon bimbitnya digagau di bawah bantal. Ia berkelip. Ada dua mesej tertera. Kedua-duanya sudah tidak sabar untuk dibuka. Izah duduk di tepi katil, lantas menekan butang 'open'. Ada mesej dari Ikhwan, ada mesej dari Dzikry. Sambil senyum tipis, membaca sekilas mesej Ikhwan, Izah membiarkannya. Membuka pula mesej Dzikry, juga tersenyum tipis.
Izah berkeputusan membalas kedua-dua mesej tersebut. Sebetulnya sebelum mandi tadi, memang dia sedang bermesej dengan kedua-dua lelaki itu. Dia meletakkan telefon bimbit itu ke atas meja belajarnya. Mengambil losyen Nivea kemudian melumurkan ke bahu kanannya. Jam dari laptopnya berdenting sekali menandakan sudah pukul 7 malam.
Sambil meratakan losyen ke seluruh lengan kanannya, Izah menekan butang 'reply'.
"X wat apa pun..baru siap mandi.."
Izah menekan butang send.
Pintu bilik diketuk perlahan. Salam halus kedengaran pintu bilik dikuak. Muncul Fasihah dengan senyumannya yang manis. Rambutnya juga dibalut dengan tuala, persis Izah. Cuma yang berbeza, Fasihah nampak manis dan sopan dengan baju kelawar bercorak batik labuhnya. Berlengan panjang santak ke hujung lengan. Warna biru laut yang ceria, dihiasi warna-warna pastel yang lain. Tompokan bunga pink, kuning, hijau epal dan lilac tambah menyerikan gadis itu. Sedang Izah ada di birai katil, dengan handphone di tangan, masih selesa berkemban dengan kain batik.
Fasihah cermat-cermat meletakkan baldi berisi bekas mandi dan peralatan mandinya bersebelahan baldi Izah di ruang kanan bilik itu. Kipas siling di bilik itu berpusing ligat. Fasihah lantas meleraikan balutan rambutnya. Terurailah rambutnya yang ikal mayang berkilat santak ke punggung itu. Dia mengambil sikat dan menyikatnya perlahan. Usai merapikan rambut, dia terus menyarungkan jubahnya. Anak telekung dipakai, dan telekung solat disuakan ke mukanya. Dia membuka lokernya, menyorong laci seterusnya mengeluarkan sepasang sarung kaki coklat yang baru. Menutup pintu loker seterusnya mengenakan sarung kaki tersebut.
Izah terus-terusan menghadap handphonenya. Fasihah melihat wajahnya sekilas di cermin. Jam berdenting sekali lagi dari laptop Izah menandakan sudah pukul 7.15 malam.
"Ahh..aku perlu cepat. Tak lama lagi azan akan berbunyi. Nanti tak sempat pula nak beriktikaf dan solat sunat qabliyyah," bisik Fasihah.
Fasihah senyum sekilas pada Izah. Izah hanya membalas dengan pandangan kosong. Fasihah terus keluar dan menutup pintu cermat-cermat, dengan Al-Qur'an hijau kesayangannya di tangan kanan. Tanda tanya timbul dalam hati Izah.
"Aik..selalunya dia ajak aku ke surau bersama.. Em, takpelah..bagus jugak. Takdelah aku serba salah nak cari alasan.. Peliknye..nak pi surau je, dekat je pun..nak pakai stokin jugak..hai.." Izah senyum sinis sambil terus menyambung menaip pesanan ringkas.Dzikry menunggu di hujung sana.
Tepat pukul 9.30 malam, Fasihah pulang dengan menjinjit beg plastik. Masih dengan senyumannya, dia hati-hati meleraikan telekung solatnya yang sedikit biru nila itu. Usai disangkut di hanger, lantas menggantungnya di hujung katil, Fasihah menyuakan bungkusan itu pada Izah yang leka mengadap laptopnya. Ada bunyi deringan menandakan mesej masuk. Bunyi mesej YM.
"Zah, jom makan sama-sama. Ada biskut raya. Amalina yang bagi, dia ajak singgah ke biliknya lepas solat Isya' tadi. Baik sangat dia, padahal baru kenal tadi."
Izah berpaling sekilas sambil senyum.
"Emm, takpelah. Kite dah makan petang tadi. Awak makanlah. Malam kite tak makan sangat..takut badan naik..haha," jawab Izah berbasa-basi.
"Owh..ye ke..baguslah. Doktor, mesti jaga kesihatan kan.." Fasihah senyum ceria.
Fasihah mengambil sekeping biskut Almond London, menyuakan ke mulut. Getaran Bismillah kedengaran halus. Usai mengisi lebihan biskut ke dalam tabung biskut di rak teratas, Fasihah mencapai buku teks Usul Akhamnya. Duduk mengadap ke arah kiblat, Fasihah membuka buku tersebut dengan bacaan Bismillah.
"Eii.. tolongla jangan panggil aku Zah. Macam nama orang tua je.. Em, hairan aku. Ramai betul kawan dia. Kejap Sumayyah, kejap Suhaila, kejap Aina, kejap Amalina..mm..apa-apa jelah..." gumam Izah di dalam hatinya.
Pukul 11.30 malam, Fasihah beberapa kali menguap. Izah masih tekun di hadapan laptopnya. Facebook sedang dilayari. YM masih terus dilayani, malah tambah rancak berbunyi.
Fasihah bangun mengambil baldinya. Dia keluar ke tandas yang berada selang beberapa bilik dari bilik kediamannya, D643. Usai memberus gigi, membersih muka dan meratakan air wudhu', dia menapak ke biliknya.
Fasihah membuka mushaf kesayangannya, menyelak tali oren, tempat tanda Surah Al-Mulk. Usai membaca habis surah itu perlahan-lahan, dia menutup mushaf itu, mengucup, mencium dan meletakkan ke dadanya. Erat.
"Zah, hah tidur dulu ea. Em, Zah jangan tidur lewat sangat tau... nanti ada black circle.. nanti hilanglah keayuan Zah..hehe.."
Izah senyum pada Fasihah.
"..Baiklah.. kite pun dah ngantuk jugak ni.."
Fasihah sudah lena dibuai mimpi. Dia tidur mengadap kiblat, dengan rusuk kanan berada di bawah. Desahan nafas halus berirama perlahan.
Pukul 12.30 malam, Izah masih di hadapan laptopnya.
"Ahh..belum solat Isya' lagi..tapi ngantuk la pulak.. Em..tidur dululah. Bangun pukul 4, baru Solat Isyak.."
Izah terus merebahkan badannya ke atas tilam empuk bercadar pink bunga merah itu, sambil menetapkan alarm telefon bimbitnya pada pukul 4 pagi. Tidak lama untuk dia mula belayar di lautan mimpi...
Pukul 3 pagi, Fasihah bangun. Menyucikan diri, menyucikan hati dan nawaitu. Menyegarkan diri dengan air wudhu', Fasihah mengenakan telekung solatnya. Sengaja dia menggantung telekung di hujung katilnya, agar terbangun sahaja, dia dapat melihat telekung itu seraya mengingatkan dirinya untuk solat malam.
Ahh.. solat malam. Nabi Muhammad S.A.W yang maksum, dicintai Allah dan pasti masuk syurga itu saja solat hingga bengkak kakinya. Sedang aku ini.. Maksum? Jauh sekali. Dicintai Allah?? Tak pasti... Syurga?? Ahh.. aku yang hina begini.. entah lah Ya Rabbi. Justeru itu.. izinkan aku bangun di dini hari-Mu ini.. meratap sendu di kaki-Mu Ya Ilahi Rabbi..memeluk bayangan-Mu Ya Habibi Qalbi.. bersimpuh tulus di hadapan-Mu Ya Naasiri..Ya Waliyyi..Anta Maqsuudi..Waridhaaka Mathluubi..
Sekejap sahaja air mata penuh di tubir mata Fasihah. Sendunya berlagu perlahan.. bimbang didengari teman sebilik. Dalam doa dia bertawakkal. Bulat, penuh. Usai berzikir perlahan, membaca Al-Qur'an barang tiga muka, solat witir, Fasihah merebahkan badan kembali, dengan mata yang masih basah.
Baru sahaja dia ingin melelapkan mata, handphone Izah berbunyi. Lagu Lady Gaga.
"Bunyi call? Atau alarm? Tapi biasanya kalau call... bunyinya macam lain.." Fasihah terkejut.
"Emm, pukul 4 pagi. Bangun bertahajjudkah?" Fasihah berteka-teki.
"Alhamdulillah.."
Sudah 3 kali handphonenya berulang dering. Namun Izah hanya bergerak-gerak tanpa memberi tindak balas apa-apa.
"Mungkin dia tidur lewat. Penat benar.." terka Fasihah.
Atas dasar sahabat, dan mungkin niat yang baik di disisi Izah, Fasihah menggerakkan Izah. Mungkin benar dia mahu bertahajjud, kasihan dia jika terlepas. Atau ingin mengulangkaji.. tidak kisahlah. Yang pasti tentu dia ada maksud tersendiri untuk bangun di dinihari itu. Jikalau tidak, masakan dia set alarm handphonenya.
"Zah.. Em.. Izah... Izah. Izah nak bangun ke?" Fasihah menyentuh kaki Izah lembut. Kemudian, Fasihah berhati-hati menggoncang bahu Izah.
"..Ha..Emm..Ya..Ya.." Izah menggosok-gosok matanya. Dia bangun dan duduk di birai katil. Mematikan alarmnya.
Fasihah kembali merebahkan badannya di katil. Cadar warna ungu muda itu dikemaskan sebelum dia merebahkan badannya. Dia tidak tahu bahawa Izah sebenarnya terlena kembali.
Tepat jam 5.30 pagi, Izah terbangun kembali.
"Aduh!! Solat Isya'!"
Mengerling handphonenya sekilas, Izah buru-buru ke tandas untuk mengambil wudhu'. Fajar Subuh akan menyinsing sekejap lagi.
Usai solat, itupun cuma 2,3 minit, Izah melepaskan kelelahannya yang berbaki.
"Ah..nasib baik sempat. Tak pasal-pasal aku kena ganti nanti... macam dua hari lepas..."
Bukan tak selalu Izah begitu. Qadha' solat disebabkan kebiasaannya melewat-lewat dan menangguh-nangguhkan solat. Itupun jika rajin dan teringat. Sudahnya dibiarkan sahaja tanpa menggantinya. Dalam remang bulan dan cahaya lampu mejanya, Izah tertangkap pada helaan nafas halus. Cukup teratur. Ia begitu mendamaikan. Lantas Izah menyoroti pula wajah itu. Ia tambah mendamaikan jiwa.
"Tak banyak beza antara aku dan dia. Rambutnya ikal panjang, lebih kurang sama saja dengan aku. Aku lebih cerah. Aku juga lebih kurus dari dia. Tapi, kenapa dia sangat menawan hati? Renungan matanya bening dan cerah. Kalau aku pun dah fikir begitu, entah apalah pandangan dan fikiran lelaki lain. Agak-agaknya dia ada tak pakwe? Tak pernah sekali pun dia cakap pasal lelaki. Kalau kawannya datang, tak pernah pun bincang pasal topik tu.. habis-habis tentang kuliah-kuliah agama, usrah, isu-isu semasa... tarbiyyah...apa tu? Aku??.." Izah bermonolog dalam hati sendiri.
"..Waktu tidur, Fasihah lagi cantik. Sangat puas menatap wajahnya yang lembut dan bersih itu. Aku? Entahlah...Ahhhhh..." Izah membanding beza lagi. Menjerit kecil dalam relung hati sendiri.
Pandangan mata Izah tertancap pada tangan Fasihah. Lengan bajunya tersingkap ke paras siku. Ada garis di situ. Garis di pergelangan tangannya jelas kelihatan.
"Ah.. jarang sekali untuk melihat lengannya begitu, apatah lagi sering berkemban macam aku.. Ya Allah, dia sebenarnya sangat putih. Cuma tangannya je yang sedikit berlainan. Inilah bukti dia menutup auratnya dengan baik sejak dahulu.. sedang aku? Selesa berlengan pendek ke sana ke mari.." Izah mula sebak.
Dia memandang kembali wajah Fasihah. Garis yang sama juga kelihatan di sekeliling wajahnya yang penuh itu. Ini kerana dia istiqamah dengan tudung labuhnya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Menurut foto yang dilihat Izah di atas meja belajar Fasihah.
"..Ya, dia sebenarnya lebih putih dari aku.. lebih cantik dari aku. Aku sahaja yang perasan lebih sebelum ini. Tapi aku akui melihat dia mengenakan telekung solat atau tudung labuhnya, begitu mendamaikan jiwa.."
Izah segera teringat. Waktu itu Fasihah tertinggal bakul bajunya di bilik. Asalnya mungkin dia berkira-kira untuk membasuh baju tersebut. Ada dua helai semuanya. Jubah dan tudung labuhnya Kebetulan mungkin dia terdengar suaraku di bilik mandi itu. Ahh.. aku juga sebenarnya yang mulut luas, bising sahaja berborak dalam bilik air itu. Kebetulan aku terjumpa Zura, roomateku sesi lepas. Apa lagi, tentunya topik itu menjadi bualan. Aku tentang Dzikry dan Ikhwan, dan Zura kecoh sekali menceritakan mengenai teman chatting yang baru dikenali, Faiz. Baik dan romantik katanya.
Selepas Zura berlalu membawa bersama pinggan-pinggan dan mug yang katanya tidak berbasuh sejak dua hari lepas, Fasihah segera memanggilku dari dalam bilik air. Dia meminta tolong supaya mengambil bakul baju tersebut. Aku tidak kisah. Bukan aku tidak pernah meminta tolong darinya sebegitu.
Saat aku menyuakan bakul tersebut, dia membuka pintu bilik airnya. Dia berkemban, dan kelihatan agak kekok. Buru-buru dia mengambil bakul tersebut dan mengucapkan terima kasih padaku, lantas menutup kembali pintu bilik air. Sedang aku seperti tersihir. Dia amat cantik!!
Air mata Izah mula bertakung.
"Aku ini, nama sahaja Hafizah, Yang Terpelihara.. tapi tidak pun menggambarkan peribadiku.. entah apa yang terpelihara. Auratku kah? Pergaulanku kah? Ibadahku kah? Ahh..semuanya tidak!" Air mata Izah tambah melebat. Dia sedaya upaya menahan esakan tangisnya.
Dia merasa sudah lelah pada permainan dunia. Yang pasti, dia bukannya bahagia begitu. Ada juga dia berbincang-bincang dengan teman-teman se'kepala'nya. Hasil muzakarah, mereka mencapai kata sepakat : "Untuk apa menjadi hipokrit. Jadilah diri sendiri!" Awalnya dia bersetuju. Lama kelamaan dia mula goyah dengan doktrin itu. Itupun setelah bermesej dengan seorang ustazah, Ustazah Sakinah namanya. Ustazah Pendidikan Islam sekolah menengahnya dahulu.
Kata ustazah, "Hipokrit yang bagaimana dimaksudkan? Contohnya begini, kalau kita boleh memilih.. telur, beras, gred Exam umpamanya, mesti kita mahu yang gred A. Justeru itu juga dalam kita memilih halatuju hidup kita. Tentunya kita mahu semuanya yang terbaik, gred A. Ibadahnya, pergaulannya, pemakaiannya, semuanya gred A. Gred A dan sebagainya itu tentulah sudah ada dalam suluhan agama. Hanya kita selama ini yang hipokrit, memilih gred B, C dan sebagainya sedangkan hati kita sebenarnya mahu Gred A. Fitrah kita asalnya cenderung pada Gred A, kerana agama Islam itu sesuai dengan fitrah. Cuma kita yang menjadi hipokrit pada diri sendiri, menafikan kemahuan hati sendiri, ego pada kata hati sendiri!"
Selepas banyak berbincang dengan Ustazah Sakinah, aku seringkali memikirkan mengenai perkara ini. Cuma, untuk bertanya pada Fasihah, aku sebenarnya rasa malu. Dalam erti kata lain, egokah aku?? Ya, aku sebenarnya ego. Ternyata aku memandang rendah pada pelajar jurusan Pengajian Islam. Fikirku, aku jurusan Perubatan. Bagai langit dan bumi. Melangkah keluar sahaja dari universiti aku bisa memilih untuk bekerja di hospital manapun. Tiada istilah menganggur dalam kamus kehidupan seorang graduan perubatan. Namun aku lemah, aku kalah dalam menaksir makna sebenar sebuah kehidupan. Maka, jadilah aku seperti sekarang.
Mataku sudah menjadi umpama empangan yang pecah. Air mata tak tertahan lagi. Ternyata selama ini aku mengingkari fitrah, suara hati sendiri. Aku sebenarnya amat dengki pada mereka. Entahlah, susah untuk kugambarkan. Mereka manis dan sopan menjaga aurat. Persahabatan mereka bukan retorik, malah susah sekali untuk mendengar kata-kata kesat keluar dari bibir mereka. Apatah lagi untuk bergaduh, bermasam muka sesama mereka. Bergaduh kerana lelaki? Mempermainkan perasaan lelaki? Ah.. untuk mendengar nama seorang lelaki dari bibir mereka pun amat payah. Yang pasti, lelaki yang soleh tentulah untuk mereka. Mereka-mereka yang meletakkan agama dan Allah di tempat teratas, lebih dari segala-galanya. Sahabat, aku juga ingin sepertimu. Dalam ketenangan menghadapi hidup ini....
Di saat itu aku merasa akulah insan yang hina di hadapan Fasihah. Apatah lagi, aku merasakan akulah manusia yang paling kerdil dan hina di hadapan Allah. Umurku sudah 22 tahun, seperti juga Fasihah. Namun aku amat pasti, dia sudah jauh belayar ke lautan cinta Allah, dan mungkin sudah sampai ke pantai kemanisan iman. Sedang aku masih tersekat-sekat jauh di atas gunung sana. Muara masih jauh dalam genggamanku, apatah lagi untuk mula belayar di lautan cinta Ilahi dan tiba ke pantai kemanisan iman..
Fasihah bergerak-gerak. Aku segera menyapu air mataku, dan berpaling ke sisi lain. Fasihah bangun, melipat selimut, dan mengemaskan katilnya. Dia segera menuju ke bilik air bersama baldi dan tualanya. Tak lama kemudian, dia kembali ke bilik. Mengambil bakul bajunya. Azan Subuh berlagu syahdu bagi jiwa-jiwa yang hidup.
"Emm...... tak ke surau ke....." tuturku lambat-lambat.
"Emm..tak boleh solat pulak. Baru je.. Cadang nak basuh baju.. kenapa Zah?" Fasihah terkejut.
"Haa...takde apa-apa.."
Fasihah berlalu, dan aku berbelah bahagi. Cadangnya aku ingin bersamanya ke surau. Aku merasa tak kuat dalam keseorangan.
Tiba-tiba aku bangun. Kekuatan menerpa ke dalam jiwaku. Lalu mulai saat itu aku tekad! Saat aku melangkah kaki ke surau, meninggalkan bilikku pada fajar yang hening itu, aku bertekad untuk meninggalkan jua segala fitrahku yang songsang. Walau aku harus sendiri, aku ingin merasa indahnya hidup bertemankan Allah dalam setiap langkahan kakiku, dalam setiap hela nafasku. Ya! Inilah jalan hidupku yang ku cari-cari.
Sedang dari jauh ada sepasang mata memerhatikan. Ada air hangat mengalir di situ...
"Sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah perhiasan.. dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah..."

Puisiki:.Memilik Hatiku

alt
Aku lukiskan dalam diam
Bahawa hatiku butuh sebuah penghargaan
Yang dijaga dan menjaga
Mata dan hati bernama hamba
Istikharahku kian jelas berbicara
Bahawa inilah keharusan
Mencari yang lebih kekal dan hampir
Sedekat-dekat telingaku
Takkan pernah jatuhkan aku
Takkan pernah lemaskan aku
Bahkan memeluk diriku penuh rindu
Melepaskan bisikan yang berharap
Biar sunyi selamanya sunyi
Hati ku takkan dimiliki
Kerna jiwaku yang mengingini
Melepaskan bisikan yang berderap
Suci tanpa hubung
Sirna bersama cinta Agung
Allahurabbi
Allahurabbul Izzati
Pemilik hatiku
Istikharahku menetapkan segala
Bahawa kanku lepaskan segala
Lalu tawakkal penyambung cerita
Menitislah air mata
Kujatuhkan penuh bahagia
Kuusap penuh rela
Pada cintaku terpelihara
Hadirnya dengan izin Maha Kuasa.
Wallaua'lam

Puisiku:.Sehelai Tudung Labuh

alt
Setulus bicara
Meluahkan rasa
Sehelai tudung labuh
Seindah hijab menjadi plilihanku
Suatu ketika dahulu
Diri hanya  insan biasa
Gadis yang hanya berpesonaliti biasa
Namun Hidayah-Nya
Hadir tanda kasihNya
Tudung labuh menyentuh fitrah
Membuatkan aku jatuh cinta
Pada hijab yang sempurna..
Tudung labuh sangat bermakna
Menjadi penghormatan pada diriku sebagai seorang wanita
Aku berubah bukan kerana ingin mendapat gelaran ustazah
Namun tanda cinta pada Illahi yang memberi perintah
Untuk kaum hawa menjaga aurat dengan sebaiknya
kerana itulah yang terindah dan berharga
Kadang kala
Aku kecewa
Pada sikap segelintir manusia
Hanya pandai menyindir tanpa usul periksa
Sangat susah untuk mendidik hati supaya lebih sabar dan redha
Namun ku kuatkan semangat untuk tidak berputus asa
Istiqamah dalam menjaga aurat demi keranaNya
Ya Allah.... Ya Tuhanku
Janganlah kau bolak-balikkan hatiku
Setelah Engkau memberiku Hidayah-Mu
Tetapkanlah hati ini dalam meneruskan perjuangan rasul-Mu
Dan Engkau kuatkan diri dalam mujadah nafsu
Moga Engkau redha atas segala laku.
.