Monday, 15 August 2011

Buat Ibu Bapa dan Anak

"Nak join tak buka puasa kat Melaka?" Mesej yang diterima saya tatap.
Pelik. Melaka? Jauhnya..
"Kat mana?" Saya membalas. Ringkas.
"Rumah orang-orang tua."
Rumah Seri Kenangan. Satu nama yang meninggalkan kesan buat saya dan sahabat-sahabat yang mengikuti program jejak kasih Ramadhan ke rumah tersebut pada 21 Ogos 2010.
Dihuni oleh lebih kurang 200 warga emas, bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan... Tidak kurang daripada asrama ketika saya bersekolah dahulu, pasti. Mereka pasti merasa kesunyian...
Anak-Anak... Renungkanlah...
"Assalamualaikum mak cik." Saya dan dua lagi sahibah menghampiri katil yang diduduki oleh seorang warga emas. Mak Cik Fatimah.
"Waalaikumsalam." Dia menjawab mesra. Petah sahaja mulutnya menyambung kata, "Mak cik dulu hidup susah. Zaman komunis. Pakcik tak bagi pakai cantik-cantik. Makan ubi."
Nostalgianya diimbas kembali.
Saya dan sahibah hanya mendengar.
"Anak mak cik ada tiga. Cucu ada tiga. Anak mak cik yang lelaki tak kahwin lagi."
"Kenapa dia tak kahwin lagi?" Saya cuba memberi respon.
Mak Cik Fatimah tergelak, mungkin dirasakan soalan saya terlalu lucu. Kepalanya digeleng-gelengkan "Ish, takkan tak tahu, perempuan sekarang nak duit je. Masak tak pandai. Mak cik suruh dia cari yang pandai masak, nanti kalau susah, sekurang-kurangnya ada benda yang dia mahu makan."
Saya mengangguk, pantas tangan saya menepuk sahibah di sebelah, "Mak cik, kawan saya pandai masak." Saya cuba bergurau.
Mak cik Fatimah tidak mendengarnya, atau mungkin lebih berminat menyambung cerita perihal anak dan cucunya. Dari sinar matanya, kelihatan kerinduan yang tidak berbelah bahagi. Mana mungkin sama hidup bersama kawan-kawan dengan hidup bersama saudara sendiri.
Saya pernah merasainya dan saya pasti sahabat yang sedang menuntut ilmu jauh dari keluarga juga merasainya. Cuba tidak balik beraya bersama keluarga, bagaimana rasanya?
"Mak cik, anak makcik datang melawat tak?" Saya bertanya lagi.
Mak cik Fatimah diam. Renungannya panjang. Selepas beberapa saat terdiam, mulutnya dibuka kembali, "Kalau tak sibuk, dia datanglah..."
Sibuk.
Layakkah alasan itu diberi oleh seorang anak? Serta-merta saya teringat pada kata-kata timbalan penguatkuasa Rumah Seri Kenangan di dewan tadi.
"Anak-anak beri alasan sibuk... Sedangkan ketika dulu ibunya lebih sibuk. Contohnya saya, adik-beradik 14 orang... Pagi-pagi ibu dah bangun pergi menoreh getah. Sambil ikat anak kat belakang, ibu cuci baju. Sambil suap anak, ibu lipat baju. Ayah, pergi pagi balik malam. Solat di tengah-tengah kebun. Di sebelah semak dan di tepi jalan. Sesibuk-sibuk kita, sibuk lagi mereka satu ketika dahulu untuk membesarkan kita."
Subhanallah... Saya kembali merenung diri, sudahkah selesai satu suruhan Allah:
"Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa." (an-Nisa' :36)
Semoga kita semua terhindar daripada menjadi anak derhaka...
Ibu Bapa... Renungkanlah...
"Kau ni lembap! Menyusahkan orang! Tak guna!" Badan anak itu dilibas-libas. Rayuan dan esak tangisnya tidak lagi menjadi satu simpati ke dalam hati tuanya.
Sumpah seranah terkeluar laju dari mulutnya. Setelah habis teruk anak itu dibelasah, dia pergi keluar berfoya-foya di lorong-lorong gelap yang ada...
Hak anak diabaikan.
Didikan agama langsung tidak diberi.
Tanggungjawab kepada Allah tidak diendahkan.
Justeru, apabila usia semakin menginjak, pada siapakah tempatnya mengadu? Diri masih lagi ego tidak mahu sujud kepada Sang Pencipta. Jiwa masih lagi sombong mempertikaikan hak seorang anak.
Anak yang membesar tanpa kasih sayang, masakan tahu bagaimana cara untuk memberi kasih sayang.
Bukankah Rasulullah S.A.W telah bersabda (mafhumnya):
"Barangsiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi."(HR. Bukhari)
What you give, you get back!
Saya tidak berniat mahu menyebelahi siapa-siapa. Bukan jua penulisan ini dicipta kerana saya adalah seorang anak. Tidak. Saya sendiri sedar dan akui, jika diizinkan-Nya, saya pasti akan menjadi ibu kepada anak-anak saya kelak...
Ada juga pada usia mudanya, ibu bapa terlalu sibuk untuk memberi perhatian kepada si anak. Belum sempat anak meletakkan beg sekolah sudah disuruh macam-macam. Tidak ada pertanyaan khabar, tidak ada ciuman mesra.
Ada juga yang hanya mendidik anak dengan wang. Kononnya dengan wang, si anak boleh bergembira. Hakikatnya, harga kasih sayang itu tidak akan terbeli dengan wang. Sampai bila-bila.
Ibu bapa... Sudahkah dirimu mendidik anak sebagaimana yang diajar di dalam Islam?
Ketika usia anakmu 1-7 tahun, beri dia sepenuh kasih sayang. Jika dia suka digeletek, geleteklah, jika dia suka naik atas belakangmu, izinkanlah, jika dia suka dikejar, kejarlah... Asalkan hubungan menjadi rapat.
Ketika usianya 7-14 tahun, didiklah dengan tegas. Katakan apa yang boleh dan tidak. Rotan jika perlu.
Ketika usianya telah melepasi 14 tahun, didiklah dia sebagai seorang kawan. Dengar ceritanya, fahami jiwanya...
Sudahkah tertunai didikan itu, wahai ibu bapa yang saya hormati?
Anak-anak yang tidak diberi kasih sayang akan menyimpan satu perasaan dendam di dalam hati dan kelak, apabila dia telah menginjak dewasa, dia tidak akan tahu cara untuk memberi kasih sayang kepadamu dan mungkin juga menunaikan dendam yang telah lama tersimpan.
Na'uzubillah...
Sabda Rasulullah S.A.W (mafhumnya):
"Anak-anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih, maka kedua ibu bapanyalah yang akan menyebabkan anak ini menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani." (HR Bukhari, HR Ibnu Majah, Daruqthini dan Hakim)
Maka, tanggungjawab kepada Allah jangan sesekali ditinggalkan kerana akhirnya hanya kepada-Nyalah tempat kita mengadu dan mengharap. Hanya kepada-Nyalah tempat kita berserah dan hanya bertaqwa kepada-Nyalah, kebaikan dalam mendidik anak dapat diperoleh.
Insya-Allah...
Buat anak dan ibu bapa...
Buat anak-anak yang disakiti perasaannya.. Saya pasti, kalian pasti punya satu rasa dendam di dalam hati. Mungkin jua kalian tidak mahu langsung menyayangi ibu bapa kalian. Perasaan sayang itu adalah satu rasa yang tidak mungkin boleh dipaksa-paksa. Ia lahir dengan sendirinya tanpa perlu diberitahu. Jika tidak mampu menyayangi, cukuplah sekadar menghormati mereka. Mungkin hanya itu yang mampu dilakukan...
Buat ibu-bapa yang dihormati. Jangan terlalu merasa bahawa setiap apa yang anda lakukan, maka itulah yang tepat dan benar. Anak-anak jua punya hati dan perasaan, yang apabila disakiti akan menjadi parah. Ingatlah, apa yang diberi kita akan dapat kembali. Didiklah anak dengan cara yang Islam ajari, nescaya anak-anak itu membesar menjadi insan berguna...
Buat saya, kamu dan kalian. Marilah bersama kita kembali kepada Allah. Kembali kepada Pencipta. Mari tingkatkan Iman dan ketaqwaan dalam hati. Mari kita bersama menjadi anak, ibu bapa dan hamba yang bertaqwa kerana hakikatnya kita semua menjunjung amanah, satu perkara yang tampak ringan di dunia tetapi amat berat di akhirat sana...
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (al-Hujurat : 13)
Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment